Sunday 3 November 2013

Model Risiko dan Pelindung

Salam sejahtera, dan terima kasih andai ada yang masih sudi berkunjung ke blog saya...
Hari ini saya nak kongsikan aktiviti saya dalam membantu Dr. Muzaffar Shah dalam kajiannya pembinaan model risiko dan pelindung. Saya diberikan amanah oleh Beliau untuk key-in data kajian dalam SPSS. (Bukan free ada income .hehe). Untuk pengetahuan semua, kajian ini akan dibawa ke Amerika pada minggu hadapan untuk dikaji selama setahun di sana dan dibandingkan dapatannya.  Bangga jugalah Dr. pilih saya untuk bantu beliau hehe...
Ha! ramai sangat nak gosip!

Kajian ini bertujuan melihat sejauh mana ketepatan teori doktor bahawa sekiranya pelindung kuat, maka risiko untuk seseorang terlibat dengan dadah adalah tipis. So, rumusannya faktor pelindung perlu dibina sebanyak mungkin untuk mengelakkan seseorang terlibat dengan dadah. Pada calon SPM atau STPM anda boleh ambil fakta ini, mana lah taw keluar dalam soalan peperiksaan.. ha! tak ke menyesal kalau tak tahu.
Untuk memahami lagi soal faktor risiko dan pelindung, anda boleh baca penulisan ilmiah saya ini. 
Selamat membaca..


Model Pencegahan

Merujuk Laporan Dadah (1998) bagi memulihkan penagih dadah, pergantungan fizikal dirawat melalui detoksifikasi memerlukan masa yang lama di antara tujuh hingga sepuluh hari. Walau bagaimanapun ada pendapat mengatakan ia berlaku seumur hidup. Maka tidak hairanlah rawatan dan pemulihan dilihat menemui jalan buntu maka hanya tinggal satu pilihan iaitu pencegahan. Menurut Linda Theresa Raczek (2004) dalam isu pencegahan terdapat dua faktor yang perlu diambil kira iaitu faktor pelindung dari dadah dan program pendidikan yang efektif dan kreatif.

Pertama, faktor risiko-pelindung. Patric Tolan, Jose Szapoczik dan Soledad Sambrono (2007) menyatakan terdapat empat faktor pelindung. Faktor pelindung ialah faktor yang dilihat mampu melawan faktor berisiko iaitu pengaruh negatif yang akan menyebabkan seseorang terlibat dengan dadah. Sekiranya faktor pelindung diperkasakan maka ia akan mengurangkan faktor berisiko. Pendek kata ia umpama dua medan magnet pada kutub yang bertentangan.

Antara faktor pelindung ialah membina kawalan kendiri. Patrick Tolan et. al (2007) menyatakan pembinaan kawalan kendiri merujuk kepada kebolehan individu untuk mengatur, menetapkan makna, dan bertindak balas dengan rangsangan luaran. Merujuk Caspi (1995) dalam Patrick Tolan et. al (2007) sekiranya mereka mampu mengawal diri maka tidak mustahil apabila dewasa kelak mereka tidak akan terlibat dengan salah guna dadah. Kedua, membina hubungan positif dengan keluarga, rakan dan masyarakat. Hubungan positif ini perlu dibina kerana menurut Hekter, August & Realmuto (2000) dalam Patric Tolan et. al (2007) remaja yang sukar bersosial seperti dengan rakan sebaya akan mengalami penolakan dari rakan yang mungkin akan menyebabkan mereka bergaul dengan rakan yang agresif seperti terlibat dengan dadah.

Ketiga, sokongan dan pengawasan ibu bapa. Menurut Griffith (1996) dalam Patrick Tolan et. al (2007) perhubungan dengan keluarga akan mempengaruhi perkembangan remaja. Petit et. al (1999)dalam Patrick Tolan et. al dalam Patrick Tolan et. al (2007) mengkhususkan kekurangan perhatian dan pengawasan ibu bapa terhadap murid grade enam merupakan punca mereka bermasalah tingkah laku ketika dalam grade tujuh. Keempat, memperoleh keputusan akademik yang baik. Keputusan akademik yang baik juga merupakan sebahagian faktor pelindung. Merujuk Ellickson & Hays (1991) dalam Patrick Tolan et. al (2007) dapatan kajiannya menunjukkan terdapat perkaitan antara prestasi akademik yang rendah dengan penyalahgunaan dadah. Ini disokong dengan dapatan Hundleby & Mercey (1987) dalam Patrick Tolan et. al(2007) yang menyatakan pretasi akademik yang baik dilihat mampu mengelakkan remaja terlibat dengan salah guna dadah kerana mereka rasa puas dengan pencapaian persekolahan.

Kedua, dalam isu pencegahan Linda Theresa Raczek (2004) menekankan soal kepentingan program pendidikan yang efektif dan kreatif yang bertujuan menimbulkan kesedaran khususnya pada golongan remaja. Hal ini disokong oleh Abd. Halim dan Muzafar Shah (2010) bahawa program pencegahan merupakan satu-satunya program yang pendekatan paling berkesan dalam menangani masalah dadah yang berleluasa. Terdapat beberapa program pencegahan yang berjaya seperti Program Intervensi Pelajar (PIP) bagi program dalam negara sementara program luar negara ialah Drug Abuse Resistance Education D.A.R.E.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (2009), Program Intervensi Pelajar (PIP) merupakan program pencegahan dadah kepada pelajar sekolah menengah yang didapati positif ujian saringan air kencing atau berisiko untuk terlibat dalam dadah. Program ini meliputi tiga fasa iaitu saringan air kencing, kem PIP dan pengukuhan sahsiah (pemantau). Program ini bertujuan bagi mengenal pasti pelajar yang terlibat dengan pengambilan dadah secara langsung dan menerangkan pada pelajar pengambilan dadah.  Program ini dilihat memberi impak positif khususnya dalam mengenal pasti di peringkat awal para pelajar yang terlibat dalam isu penagihan dadah. Buktinya, dalam keratan akhbar Kosmo 17 Mac 2013, Ketua Pengarah AADK Datuk Abdul Bakir Zin menyatakan bahawa pihaknya berjaya mengesan lebih kurang 60 orang pelajar sekolah positif dadah. Beliau menegaskan pengesanan ini berjaya dibuat melalui Program intervensi Pelajar (PIP) yang dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran. Hal ini menunjukkan Program ini memberi manfaat khususnya dalam mengenal pasti pelajar yang terlibat dengan najis dadah sejak peringkat awal. 

Program pencegahan bagi luar negara pula ialah program Drug Abuse Resistance Education D.A.R.E. Program ini merupakan salah satu program pencegahan yang telah lama dipraktikkan di Amerika Syarikat dan sebanyak 80 peratus sekolah di Amerika telah mengikuti Program D.A.R.E. Ini melibatkan jumlah yang ramai iaitu sebanyak 36 juta golongan muda terlibat dalam program ini. Bagi memastikan program ini dapat mencapai hasratnya seramai 50,000 orang penguat kuasa undang-undang seperti pegawai polis dan tentera dilatih menjadi tenaga pengajar dan fasilitator. Program ini merupakan salah sebuah program yang sistematik dan tersusun kerana ia dirangka serta sentiasa dikemas kini bagi menilai keberkesanannya. Buktinya, terdapat pelbagai kajian yang dijalankan terhadap program pencegahan D.A.R.E ini antaranya dalam penulisan Renee D. Sigh et. al (2011) rujuk lampiran enam yang bertajuk A Summary And Synthesis Of Contemporary Empirical Evidence Regarding The Effect Of The Drug Abuse Resistance Education Program (D.A.R.E).

Kajian yang dijalankan bagi menilai keberkesanan program-program D.A.R.E yang dijalankan antara versi lama dan versi baru. Hasil kajian mendapati bahawa program D.A.R.E versi baru mendatangkan impak yang positif dalam mencegah penularan wabak dadah dalam kalangan remaja. Hal ini disokong oleh beberapa kenyataan ibu bapa bahawa program ini turut memberikan informasi terkini tentang dadah kepada mereka serta menyumbang pengetahuan awal buat kanak-kanak. Program pencegahan ini juga dilihat kian berkembang ke seluruh dunia kerana terbukti mendatangkan impak positif dalam usaha mencegah penagihan dadah.


No comments:

Post a Comment